OGOS 2021

GPS Serah Kepada Agong, Tentukan Bakal PM - Abang Johari


KUCHING: Terserah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan siapa bakal Perdana Menteri Kesembilan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, apa yang diperlukan telah dihantar ke Istana Negara dan terserah kepada Seri Paduka Baginda.

“Kita sudah hantar ke Istana Negara dan terserah kepada Seri Paduka Baginda,” katanya kepada media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama-sama Ahli-Ahli Parlimen GPS  di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari tidak mendedahkan isi kandungan surat yang dihantar ke Istana Negara.

Ditanya sama ada pucuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ada menemui beliau untuk mendapat sokongan GPS mencalonkan nama Perdana Menteri, Abang Johari berkata, mereka tidak ada menemui beliau.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) yang juga Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof yang ditemui media juga memberitahu perkara yang sama iaitu sudah menghantar ‘apa yang diperlukan’ ke Istana Negara dan terserah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak  (SUPP), Prof Dato Sri Dr Sim Kui Hien.

Isnin lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia susulan selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber dari : Jiwa Bakti